Monday, October 8, 2007

SEPUKAL RINDU DI KALBU


Suasana pagi ini begitu mendamaikan. Mentari sudah melebarkan sinarnya. Sedikit demi sedikit. Menghalau pergi kabus-kabus yang menutupi bukit bukau yang gagah berdiri di sekitar bumi Gombak. Panorama indah itu terlihat jelas dari jendela bilikku. Aku terpana sebentar.


Hari ini hari Jumaat. Dunia masih seperti semalam. Kekejaman di Lubnan masih berterusan. Tentera Hizbullah masih kuat dan bertenaga sedang Israel pula masih terus berusaha menandingi mereka tanpa berputus asa. Ketika saudara-saudara seIslam kita di Lubnan dan Palestin gigih berjuang mempertahankan agama suci Allah serta tanah kelahiran mereka, umat Islam lainnya yang mengaku saudara masih terus leka tanpa ada sekelumit kesedaran untuk membantu mereka yang di Lubnan dan di Palestin. Meski hanya dengan sebaris doa. Betapa kebanyakan umat Islam kini begitu mementingkan diri sendiri.


“Allahumma salli ‘ala sayyidina Muhammad…” Kalimah itu terlafaz di bibir sedang aku masih tetap berdiri di tepi jendela melihat panorama indah di pagi penghulu segala hari ini. Ternyata hari ini, bumi masih utuh. Belum masanya Allah membolak-balikkan bumi ini seperti yang dijanjikan-Nya. Ternyata bukan Jumaat ini di mana Allah akan menghadirkan sang matahari dari ufuk barat.


‘Alhamdulillah, segala puji bagi-Mu Allah atas kesempatan yang diberikan untuk membaharui taubat serta meneruskan mujahadahku di atas muka bumi ini.’ Monolog hatiku.


Serta merta, aku memejamkan mata sambil menarik nafas dalam-dalam. Entah kenapa tiba-tiba hati diasak dengan pelbagai rasa yang menyesakkan dada. Aku mengurut dada perlahan. Ada kerinduan mengetuk pintu hati ini.

‘Allah…indahnya ciptaan-Mu itu. Betapa kemuliaan akhlaknya membuatkan aku jatuh cinta dan terus menyimpan rindu untuk bertemunya. Ya Allah ya Arhamar Rahimin... Dia kecintaanku, dia kerinduanku… Aku kagum, betapa dia cukup disenangi dan dikasihi oleh ramai manusia. Betapa melihatnya saja sudah cukup membuat rasa bahagia dalam diri. Ya Allah..kulampiaskan sepukal rindu yang mengasak kalbu ini kepada-Mu. Ya Allah….’



Pagi ini, aku sendiri lagi menapak ke Masjid Nabawi. Masjid itu indah dan terus indah. Masjid yang dulunya hanya bertiangkan batang tamar dan beratapkan pelepah tamar, kini sudah gah dengan berdiri tegak di atasnya 10 menara utama, ditambah dengan enam buah menara setinggi 105 meter serta empat buah menara lama yang berketinggian 72 meter. Menyambut kedatangan, 23 pintu utama dan 81 pintu biasa menjadi laluan masuk buat ribuan dan jutaan umat Islam yang mengunjunginya. Kemegahan Masjid Nabawi ditambah lagi dengan terdapatnya 27 kubah bergerak yang terletak di bahagian luar masjid, yang boleh dibuka atau ditutup secara automatik apabila diperlukan. Antaranya adalah pada hari Jumaat. Subhanallah…itulah masjid kecintaanku setelah kecintaan yang tiada berbelah bagi pada Masjidil Haram.


Kaki ini ketar. Hati ini debar. Aku sedang memasuki Babus Salam, menuju ke suatu tempat yang amat mulia. Mahligai indah yang berkubah hijau, warna kecintaan penghuninya. Doa dialun tertib di sepanjang langkah. Hanya beberapa langkah sahaja lagi aku ke arahnya. Mendatangi seseorang yang amat mulia. Insan yang yang amat aku hormati lagi rindui. Tiada berbelah bagi. Dialah baginda Nabi al-Musthafa, sallallahu ‘alaihi wasallam.


‘Ya Ilahi, hamba alfaqirah ingin menemui kekasih hatiku yang amat dirindui, juga kekasih-Mu yang mulia. Benar, hamba tidak layak untuk menapak ke tempat yang mulia ini Ya Ilahi, namun dengan kasih sayang-Mu yang teramat luas, maka terimalah aku di sisi-Mu untuk menjadi pencintanya yang terbaik. Menjadi perindunya yang setia. Ya Rahman, irhamni warhamna jami’a. Allahu amin..Bismillahirrahmanirrahim. Allahummashalli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad.


Langkah terhenti. Getar yang amat, saat ingin bertemu baginda. Pandanganku tertancap ke satu sudut. Lutut ini semakin ketar. Kaki ini menggigil seluruhnya. Terasa tubuh ini ingin rebah ke bumi. Aku menjenguk ke celah jejaring. Allahu akbar. Dapat kulihat jelas makam baginda. Di sudut itulah bersemadinya jasad insan mulia yang dirindui. Kurapati dan kuamati. Air mata tidak tertahan lagi. Tidak terungkap rasa di hati.


“Assalamu’alaaika Ya Rasulallah, Ya Habib al-Musthafa. Inni musytaqqah jiddan ilaika Ya Rasulallah” Hanya itu terlafaz di saat itu.


Kulihat jelas, makam yang di dalamnya bersemadi jasad baginda yang dikasihi. Di samping makam baginda, terdapat makam 4 sahabat yang mulia iaitu Saidina Abu Bakar yang setia, Saidina Umar al-Khattab sang pemberani, Saidina Othaman bin ‘Affan dan tidak terkecuali sahabat yang dimuliakan Allah akan wajahnya iaitu Saidina Ali bin Abi Talib.


“Ya Allah, indahnya saat pertemuan dengan kekasih-Mu ini. Pasti lebih indah lagi saat pertemuan dengan-Mu kelak. Meski hanya hadir di sini, menziarahi baginda, sudah terasa cukup bahagia, Apatahlagi andai diberi nikmat melihat wajah baginda. Rupa sebenar insan mulia kecintaan sekalian pencinta yang setia. Tidak tergambar betapa elok dan indahnya wajah baginda. Betapa perkasa tubuh baginda. Betapa mulia akhaq baginda. Betapa tulus dan ikhlasnya baginda mencintai umat-umatnya.
Ya Ilahi, aku bukanlah hamba yang istimewa untuk kau beri nikmat itu. Alhamdulillah, nikmat bisa menziarahi baginda sahaja sudah cukup besar. Alhamdulillah Ya Allah. Allahmdulillah ‘ala kulli ni’maat. Alahamdulillah..”


Aku pandang keliling. Entah kenapa, tidak ada seorang pun yang ada di tempat ini ketika itu, bersama-sama aku. Sedangkan lazimnya, ramai manusia akan berasak-asak ke tempat mulia ini. Subhanallah. Terima akasih ya Allah, membiarkan aku sendirian bersama baginda dan sahabat. Melampiaskan rindu yang mengasak jiwa setelah sekian lama. Ya Rasulallah, isyfa’lana ‘indallah.. Air mata masih bersisa di pipi.


Seusai meluah rasa dan melepas rindu pada baginda, aku meninggalkan makam baginda dengan berat hati, menuju ke Raudhah. Selangkah. Dua langkah. Aku kembali memandang ke belakang. Ke arah makam baginda. Betapa berat rasa di hati ingin meninggalkan kekasih hati meski tidak bersua secara realiti. Kukuatkan hatiku. InsyaAllah, moga ada pertemuan lagi denganmu ya Rasulallah, di syurga abadi nanti. Amin.





Langkah kuatur ke perhentian yang seterusnya. Allahu akbar! Allahu akbar! Aku kini berada di Raudhah. Tempat yang cukup berkah. Tempat yang disabdakan Nabi bahawa, yang terletak di antara rumahku dan mimbarku adalah salah satu dari taman-taman syurga. Inilah tempat yang aku impikan untuk melihatnya dan mendatanginya. Kupandang keliling. Kelihatan tiang-tiang di situ berwarna putih. Terdapat ukiran-ukiran ayat Allah di dinding. Subahanallah. Begitu indah. Tak tergambar oleh kata-kata.


Air mata kembali merembes deras ke pipi. Tanpa menyiakan kesempatan yang ada, aku lalu solat sunat di sudut Raudhah. Kupasakkan segala hajat dan hasrat hati ini. Berkenaan diriku serta sekalian orang yang aku kasihi. Tidak terkecuali buat sekalian saudara seagamaku di mana juga mereka berada. Hajat kebaikan buat dunia dan akhirat kami. Allahumma ikhtarli, wala taj’alni akhtar. Amin. Allah begitu dekat dengan hamba-Nya. Insya-Allah, Dia yang Maha Memperkenankan doa amatlah mendengar permohonan hamba-Nya. Apatahlagi di tempat istimewa yang dijanjikan Allah bahawa mustajab berdoa di situ.


Suasana di Raudhah benar-benar mententeramkan hati ini. Secara tiba-tiba, hadir haruman mewangi di situ. Dapat dihidu jelas oleh deria bauku. Teramat wangi. Tidak tertanding oleh wangian-wangian berkelas atas yang ada di dunia ini. Sukar digambarkan betapa harumnya haruman itu. Subhanallah. Haruman itu benar-benar membuai aku. Membuai dan terus membuai aku sehingga terlena pada duduk iftirasy tadi. Lama aku berteleku di Raudhah. Tidak dapat aku pastikan masa yang sedang berjalan.


Allahu..
Allahu..


Aku terasa seseorang menguis bahuku.


“Ya Khadijah. Anti bikhair?.” Aku tersentak lalu menoleh. Seorang wanita arab tersenyum tulus padaku.


“Khair alhamdulillah, insyaAllah. Jazakillah ya ukhti.” Senyumku, membalas kebaikan wanita arab itu. Lalu, wanita arab itu beredar meninggalkanku sendirian.


Kupandang keliling. Entah kenapa hadir sendu di hati ini. Ada rindu menguis diri. Aku kini sudah tidak berada di tempat tadi. Aku kini berada di sebuah bilik kecil yang hanya terdapat di sini sebuah katil bujang yang, sebuah almari pakaian dan sebuah meja belajar. Aku sedang berdiri di tepi jendela bilikku, sama seperti saat sebelum aku terbuai oleh khayalan. Wanita arab yang menyapaku tadi adalah Aisya, rakan sebilikku yang berasal dari Uzbekistan.





Aku terpaku agak lama. Inilah realiti. Peristiwa tadi adalah mimpi indah yang kulalui 2 hari yang lalu. Tiada lagi Masjid Nabawi. Tiada lagi makam baginda dan sahabat yang mulia. Tiada lagi Raudhah yang dirindui. Tiada lagi haruman yang mewangi. Yang ada hanyalah rasa bahagia yang berbekas di hati atas perjalanan kelmarin.


Ilahi, anta maqsudi wa ridhaka mathlubi. Tiadalah sia-sia mencintai-Mu. Tiadalah sia-sia merindui kekasih-Mu. Pasti berbalas. Berbalas oleh nikmat yang tiada terperi. Terima kasih Ya Allah atas penawar yang Kau beri dari kerinduan yang membuak-buak di hati ini. Penawar berupa nikmat melihat Masjid Nabawi, mendatangi Raudhah serta menziarahi makam baginda. Meski hanya dalam mimpi, moga Engkau masih sudi memperkenankan segala doa yang kuukirkan ketika di Raudhah saat itu. Curahan rahmat dan kebaikan buatku, sekalian orang yang aku kasihi serta sekalian saudara seagamaku walau di mana mereka berada. Perkenankan Ya Allah.


Aku menangis teresak-esak pada limahan rahmat dan kemaniasan beriman yang diberikan-Nya.
“Khadijah, limaaza anti?” Datang Aisya menyapaku buat kali kedua. Mungkin dia pelik kerana mendegar esak tangisku di pagi hari itu.


“Ana musytaqqah jiddan ila Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.” Aku senyum padanya. Sambil mengesat air mata di pipi.


“Wa ana aidhan. Allah yubarik fik” Dia juga tersenyum padaku lalu beredar.


Allahu akbar! Engkau Maha Tahu betapa besar hajatku untuk ke bumi kecintaan Rasulullah itu; selepas Mekkah iaitu Madinah al-Munawwarah. Allahumma habbib ilainal Madinah ka hubbina Makkah au asyadda. Ya Allah, kurniakan kepadaku rasa cinta kepada Madinah, sepertimana cintaku kepada bumi Mekkah atau bahkan lebih dari itu. Itulah doa yang pernah dilafaz oleh baginda Rasulullah semasa hayat baginda.


Semoga aku beroleh kesempatan untuk bertandang ke bumi yang bercahaya, Madinah serta menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi serta menziarahi baginda Rasulullah secara realiti sebelum ajal datang mengundang.
Jam 8 pagi, aku masih lagi berdiri di tepi jendela. Aku membuang pandangan nun ke hadapan, melihat panorama indah di pagi yang hening itu. Subhanallah, alhamdulillah. Kenangan indah 2 hari lalu benar-benar merupakan hadiah terindah buatku. Mengingat kembali nostalgia itu, mengundang bahagia di hati.


Kuhirup dalam-dalam udara segar pagi itu. Alhamdulillah. Ada bau aneh dapat kuhidu. Subhanallah, kuhidu sekali lagi haruman yang dihidu di dalam mimpiku ketika di Raudhah kelmarin. Kupandang keliling. Mencari sumber bau itu yang pastinya tidak akan dapat aku melihatnya. Ada senyuman yang termekar di bibir. MasyaAllah. Subhanallah. Alhamdulillahi ‘ala kulli nikmaat, ya Allah.


Pagi itu, aku hanyut dalam senyum yang berpanjangan. Pada bahagia yang semoga tiada berkesudahan. Allahumma shalli ‘ala sayyidina Muhammad. Wa ‘ala ali Muhammad.


Alfaqirah
10.42am, 06.10.07 / 24
Ramadhan 1428

2 comments:

Al haqeerah said...

Allahumma solli ala Sayyidina Muhammad fi kulli lamhatin wa nafasin..

Berbahagialah.. bagi hati2 yang hidup..
Berbahagialah..bagi jiwa- jiwa yang subur..
Berbahagialah..bagi jiwa rasa yang tiap saat mendebarkan rindu pada kekasih Allah..

Kata rasulullah.. " man ahabbani kana maiya fil jannah.."

Itu adalah janji manis yang pasti buat ukhti dan juga Pencinta Nabi kerana ingatlah.. Tidak ada pencinta Nabi yang bertepuk sebelah tangan... :)

memang wajar baginda selalu diingati..dan sama2 kita terusan mengingati beliau...insan yang mempunyai maqam yang Mulia disisi Allah dan juga disisi penduduk langit serta bumi..

Naufiz said...

Benar ya ukhti habibati. Sabda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, 'Innaka ma'a man ahbabta' Sesungguhnya kamu akan bersama dengan sesiapa yang dicintai.
Moga hati kita sentiasa terpenuhi oleh rasa cinta yang diredhai-Nya. Amin..