*********************
Nur baru sahaja selesai menyeterika jubah hijau yang akan dipakainya pada pagi Syawal esok hari. Dia duduk di buaian bulat yang terletak di halaman rumah nenek angkatnya di Sg.Dulang, Rengit, Batu Pahat. Nur meninggalkan sebentar nenek dan makcik yang sedang tekun membuat kuih di dapur. Hati dan tubuh menuntutnya agar berehat sebentar. Anak-anak saudara sedang riang bermain di ruang tamu rumah. Jumlah mereka hampir mencecah 30 orang ramainya. Melihat karenah mereka yang pelbagai sudah cukup untuk menghiburkan hati yang pilu.
Nur baru sahaja selesai menyeterika jubah hijau yang akan dipakainya pada pagi Syawal esok hari. Dia duduk di buaian bulat yang terletak di halaman rumah nenek angkatnya di Sg.Dulang, Rengit, Batu Pahat. Nur meninggalkan sebentar nenek dan makcik yang sedang tekun membuat kuih di dapur. Hati dan tubuh menuntutnya agar berehat sebentar. Anak-anak saudara sedang riang bermain di ruang tamu rumah. Jumlah mereka hampir mencecah 30 orang ramainya. Melihat karenah mereka yang pelbagai sudah cukup untuk menghiburkan hati yang pilu.
Pada waktu yang sama, Kak Iman sedang asyik membantu kakak angkatnya memasang langsir sebagai persiapan terakhir sebelum menjelang 1 Syawal esok. Muhammad dan Adam pula sedang berpanas di belakang rumah keluarga angkat mereka membakar lemang dan merebus ketupat. Zwani, Angah, Umi dan Acu juga tidak ketinggalan sedang sibuk dengan aktiviti masing-masing bersama keluarga mereka di kampung tercinta. Masing-masing sedang bersemangat dan berkobar-kobar untuk menyambut hari kemenangan umat Islam setelah berperang dengan hawa nafsu menahan lapar dan dahaga selama sebulan. Kehadiran Syawal perlu disyukuri kerana ianya merupakan satu dari berjuta-juta nikmat Allah kepada hamba-Nya. Namun demikian, tidak terkikis rasa sedih di hati membiarkan Ramadhan berlalu pergi begitu sahaja tanpa ada jaminan dari-Nya untuk kembali bertemu menemui Ramadhan pada tahun yang mendatang.
Tiba-tiba, sakit Nur yang sudah agak lama tidak menyerang kini kembali bertandang di siang akhir Ramadhan itu. Baru dia teringat, semasa bersahur pagi tadi dia terlupa makan ubat seperti selalu. Nur mengerang kesakitan sendirian di buaian. Sakit kali ini begitu hebat, tidak seperti selalunya.
“Allah...” Nur muntah darah hingga akhirnya dia rebah di halaman rumah.
***********************
Pagi itu, Muhammad dan Adam berpakaian kemas baju melayu berwarna hijau lengkap berkopiah puith. Perjalanan dari Johor Bahru ke Batu Pahat yang hanya mengambil masa selama satu jam setengah dirasakan begitu jauh. Suasana sunyi di sepanjang perjalanan. Adam mengambil langkah membuka radio siaran IKIM.fm.
‘Telah tiba saat waktu
kau tinggalkan kami
kerana takdir yang Maha Esa
telah menetapkan
pedih rasanya hati ini
bila mengenangkan
kau sahabatku, kau teman sejati.’
Tanpa diduga, dengan sendirinya air mata menitis dari kelopak mata insan bernama lelaki. Hati mereka benar-benar tersentuh mengenangkan pemergian sahabat yang sudah dianggapnya saudara mereka sendiri ke rahmatullah pada pagi yang mulia itu. Muhammad merenung jauh ke luar tingkap menahan pilu di hati. Lagu Kau Sahabat, Kau Teman nyanyian kumpulan Hijjaz masih lagi berkumandang.
‘Ya Allah, tempatkannya…
di tempat yang mulia
tempat yang dikau janjikan nikmat
untuk hambaMu
sahabat, akan ku teruskan perjuangan ini
walauku tahu kau tiada di sisi’
Suasana rumah Nek Maimunah suram. Sedang suara takbir bergema dari Masjid al-Falah, hanya suara bacaan Yaasin yang kedengaran di rumahnya. Seorang demi seorang tetamu datang bertandang. Hadirnya mereka bukan untuk beraya, tetapi untuk menziarahi kematian seorang insan mulia di pagi Syawal.
“Assalamualaikum nek.” Nek Munah menoleh. Kak Iman sedang berdiri sayu di depan pintu rumah dengan berjubah hijau ayu. Kak Iman berlari mendapatkan Nek Munah. Nek Munah dipeluk erat. Air mata tidak tertahan lagi. Ianya tidak henti mengalir sejak mendapat khabar dari Nek Munah malam semalam mengenai pemergian Nur.
“Sabarlah Iman. Allah lebih menyayanginya, sebab itu Dia menjemputnya lebih awal.” Hanya itu yang mampu dilafazkan Nek Munah. Dia pun turut sedih dan kesal atas pemergian Nur yang secara mengejut. Kak Iman memandang sayu sekujur tubuh yang terbaring kaku dibaluti kain putih di hadapannya.
“Sampai hati Nur menyimpan penyakit barah rahim Nur selama ini. Nur suka membebankan diri sendiri. Segala masalah dipendam, hingga akhirnya memakan diri. Sanggup bersusah payah untuk orang lain, tetapi tidak mahu kepayahan dan masalah diri diketahui orang lain. Itulah Nur, adik akak. Gurau serta senyum tawamu akan akak rindui selalu.” Rintih Kak Iman sendirian tatkala melihat wajah tenang Nur yang kini tidak bernyawa.
Dalam kesedihan, hatinya terdetik sesuatu. Digagahkan dirinya mendapatkan sesuatu di bilik tidur Nur. Terasa ingin rebah tubuhnya tatkala melihat sehelai jubah hijau mirip seperti jubah yang dipakainya tersidai tidak terusik di almari pakaian Nur. Kak Iman mencapai baju itu lalu dipeluknya erat. Hatinya hiba dan sedih kerana Nur tidak berkesempatan untuk menyarungnya bersama-sama buat kali pertama pagi itu. Nur tidak sempat untuk menyempurnakan hajat terakhirnya untuk memakai baju berwarna hijau yang dipilihnya beberapa minggu lalu untuk dipakai serentak 4 bersaudara.
"Kak Iman..” Dua orang insan kelihatan sedang tegak berdiri di hadapan pintu bilik. Kak Iman mengangkat wajahnya dengan mata yang berair. Kelihatan Muhammad dan Adam kemas berbaju melayu hijau yang dibeli Kak Iman dan arwah Nur suatu ketika dulu. Hati Kak Iman bertambah sedih. Pandangan Muhammad dan Adam serta merta tertumpu pada sesuatu yang dipegang Kak Iman dengan erat. Sekali lagi, air mata Muhammad dan Adam gugur berjuraian tidak tertahan melihat jubah hijau yang tidak sempat dipakai Nur sedang dalam pelukan Kak Iman. Jubah hijau itu mencipta kenangan yang tersendiri buat mereka empat bersaudara untuk Aidilfitri pada tahun itu.
Takbir raya terus bergema, menambah kepiluan di hati. Yang pergi, tidak akan kembali. Yang tinggal akan menyusul hadir. Waktu dan keadaannya, hanya diketahui Yang Maha Esa.
‘Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami semua untuk menghadapi kenyataan dan takdirMu ini. Setiap yang datang pasti akan pergi. Setiap yang bernyawa pasti akan menemui ajalnya. Setelah bertemu, tiba masanya untuk berpisah. Setelah berpisah, akan bertemu kembali dan akhirnya berpisah semula. Itulah resam kehidupan. Moga kepulangannya kepangkuan-Mu diredhai serta dalam keampunan dan rahmat-Mu. Kami redha akan pemergiannya, kami ikhlas. Ya Allah. Moga kau merahmati ukhuwwah dan persaudaraan yang terjalin antara kami. InsyaAllah, bertemu kami kerana-Mu. Berpisah juga kerana-Mu, Ya Allah. Amin.’ Doa Muhammad di dalam hati. Tangan kanannya mengelap air mata yang masih bersisa di pipi. Tetamu terus hadir tak henti. Takbir raya terus mengalun syahdu.
‘Allahu Akbar... Allahu Akbar... Allahu Akbar..
Laailaaha illallaahu….
Allahu Akbar…
Allahu Akbar Walillahilhamdu…’
********************************
Tamat
Wallahu'alam
Wasallallahu 'ala sayyidina muhammad, wa'ala alihi wasohbihi wasallam..
No comments:
Post a Comment