Friday, September 28, 2007

DIA ADALAH SEBAIK-BAIK PENENTU!

[Surah al-Baqarah : 216]

"...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu,
dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu.
Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya. "

Dia adalah sebaik-baik perancang dan penentu.
Berlapang dadalah atas ketentuan-Nya. Usah mengeluh.
Allah bersama orang-orang yang sabar..

Monday, September 24, 2007

(4) PILU YANG MENGUSIK JIWA

****************************
Petang Sabtu bersamaan minggu ketiga Ramadhan, Nur dan Kak Iman keluar ke bandaraya Kuala Lumpur untuk membeli barang bagi persiapan hari raya. Nur akan beraya bersama keluarga angkatnya sama seperti Kak Iman. Setelah agak penat berjalan, mereka duduk sebentar di kerusi di dalam sebuah pusat membeli belah di ibu kota.

“Nur, diam tak diam sudah hampir 10 tahun kita saling mengenali. Akak dah anggap Nur macam saudara kandung akak sendiri.” Nur sekadar senyum mendengar kata-kata Kak Iman. Dia berfikir mengenai sesuatu.

“Emm, apa kata tahun ini kita berpakat untuk pakai baju raya yang sama. Walau tidak berada di tempat yang sama, kita boleh memakai baju yang sama menandakan kesamaan dan kesatuan hati kita yang tidak mengenal masa dan keadaan. Setuju?” Cadang Nur.

“Okey jugak. Nak warna apa? Warna biru boleh tak?” Respon Kak Iman.

“Warna biru. Emm, warna biru dah biasa. Kalau warna hijau, boleh tak? Lagipun hijau kan warna kecintaan Rasulullah s.a.w.”

“Kalau akak kata akak nak warna biru macam mana? Biru kan cantik.” Nur cuba memahami Kak Iman yang menginginkan warna biru kerana warna itu adalah warna kegemarannya. Hari itu pun jubah yang dipakai Kak Iman berwarna biru laut. Tapi entah kenapa hati Nur bertegas inginkan warna hijau walaupun sebenarnya dia tidak turut ketinggalan menyukai warna biru. Nur membisu agak lama

“Kak Iman, Nur ada satu permintaan terakhir.” Kata Nur serius. Kak Iman sepertinya tidak endah pada keseriusan Nur itu.

“Cakaplah, apa dia?”

“Kalau kita pilih warna hijau boleh tak? Nur mengharap, sangat” Tanpa disedari kelihatan bola mata Nur digenangi air mata yang tidak diundang. Kak Iman kaget.

“Eh, Nur ni kenapa? Janganlah serius sangat. Okey, kali ni je tau. Lain kali kita pilih warna biru pula.” Kak Iman yang agak terkejut dengan keadaan Nur akhirnya mengalah.

“Thank you my dear sister” Hanya itu yang mampu diucapkan oleh Nur. Kak Iman di sisi dipeluk erat tanda hatinya benar-benar gembira. Genangan air di kelopak mata tidak tertahan lagi.

“Terima kasih kerana memenuhi permintaan terakhir Nur”

“Kenapa cakap macam tu? Jangan merepeklah!” Kak Iman kurang selesa dengan sikap Nur hari itu.

“Sorry. Yang Nur maksudkan, ianya adalah permintaan terakhir Nur untuk hari ini. Esok-esok permintaan lain pula” Jelas Nur dengan nada gurau.

“Eh, budak ni. Suka main-main.” Kak Iman sekadar menggelengkan kepala melayan telatah Nur.

“Kalaulah baju raya itu sempena meraikan ukhuwwah kita sejak di Rumah Anak Yatim ar-Raudhah dulu, kita telah terlupa Muhammad dan Adam. Bukankah mereka juga sudah menjadi sebahagian daripada saudara kita?. Kita senasib dan pernah merasa senang dan susah bersama. Bahkan kalau boleh, Nur nak ajak Zwani, Angah dan sahabat-sahabat semua bersepakat membeli baju yang sama. Tapi, tidak mengapa. Kita buat lain kali ye, walaupun masa tu Nur dah tiada.” Satu lagi cadangan bernas daripada Nur.

“Nur tak ada? Kenapa cakap macam tu. Nur nak ke mana?” Sekali lagi Kak Iman keliru dengan sikap Nur. Hatinya mula tidak tenang.

“Nur nak ke bilik airlah. Sementara itu Kak Iman tolong hantar mesej pada Muhammad atau Adam untuk minta persetujuan daripada mereka, boleh? Tolong ye. Thanks” Nur terus berlalu tanpa menunggu jawapan dari Kak Iman. Dibiarkan Kak Iman sendirian berusaha menyusun ayat untuk dihantar pada Muhammad atau Adam. Di bilik air, Nur menangis. Dia kesal apa yang telah dilakukan dan diperkatakannya sebentar tadi.

’Ya Allah, apakah petanda pada semua ini? Adakah ini tandanya Engkau sudah hampir menjemputku pergi. Andai benar, jangan kau biarkan saudarku berduka, Ya Allah. Kurniakan mereka kegembiraan sampai saat aku dijemput pulang kelak, Ya Allah. Bantulah aku dan sahabat-sahabatku, Ya Rahman. Amin.’, rintih Nur di dalam hati. Tidak menunggu lebih lama, Nur segera mengelap sisa air matanya. Dikesat bersih-bersih kesan tangisannya agar tidak dilihat oleh Kak Iman walaupun sedikit. Dia tidak mahu Kak Iman bimbang.

“Macam mana, mereka setuju? Mereka nak warna apa?” Pertanyaan pertama Nur sekembalinya dari bilik air. Kak Iman menyambut pertanyaan itu dengan senyum melebar.

“Mereka setuju. Mereka suruh kita yang pilih. Tak kisah warna apa, asalkan sedap pada pandangan mata”

“Alhamdulillah. Kalau macam tu apa lagi. Jom kita pergi cari baju melayu yang sesuai untuk mereka dan jubah yang sesuai untuk kita berdua.” Memulakan operasi mencari, mereka melintasi sebuah kedai yang menjual kaset dan vcd berbagai genre muzik.

‘di hati
bersama mengembara
tiba saatnya tika saatnya
ku terasa
merentas lautan kasih
sinar iman yang teguh
redup menerangi hati sanubariku’

Kedengaran bait lagu Di Hati nyanyian kumpulan D’hearty. Nur merangkul erat tangan Kak Iman.

“Lagu ini ditujukan khas buat Akak dan sahabat-sahabat semua.” Kak Iman hanya membalas kata-kata itu dengan senyuman.

Lagu itu amat bermakna buat mereka semua.

‘…akan bersama
menempuh segalanya
bersatu hati mendamaikan
jiwa yang keluh resah
janji pasti bersama
ikatan teguh setia…’

Dua jam berlalu, apa yang dicari akhirnya ditemui.

‘Ya Allah, moga apa yang kami pilih hari ini adalah di bawah naungan petunjuk dari-Mu. Moga kami telah memilih yang terbaik buat kami semua di sisi-Mu, di dunia dan di akhirat.’ Doa Nur di dalam hati.

*************************

SEMPATKAH AKU KE SANA?

Suasana hati ini sepi
Meski dikelilingi riuh suara teman
Meski bingit suara radio jelas kedengaran
Semuanya seperti tiada apa
Hambar dan kosong

Fikiranku tepu
Langkahku lesu
Jiwaku sayu
Meski tidak terzahir oleh air mata
Sudah acapkali hati ini menangis
Sudah seringkali hati ini meraung dan menjerit-jerit


Detik demi detik berlalu
Usia bertambah
Amanah tidak berkurang
Betapa Allah semakin dilupakan
Betapa semakin jauh kaki melangkah
Semakin perit dan getir ujian
Yang pastinya
Memerlukan berpukal-pukal kekuatan dan kesabaran

Di dalam satu kesempatan
Aku merenung jauh ke hadapan
Pada hayat yang begitu singkat
Begitu banyak impian tertanam

Allah...
Rindunya aku pada-Mu
Hajatnya aku untuk menatap kaabah-Mu
Kasihnya aku pada kekasih-Mu
Bayangan kaabah sering bemain di fikiran
Masjid Nabawi seakan melambai
Bukit Uhud terus kukuh menanti

Entah bila akan kujejaki bumi barakah itu
Makkah al-Mukarramah
Madinah al-munawwarah
Jiwa ini sesak, ya Allah
Menahan rindu yang membuak-buak untuk ke sana


Ya Allah...
Ingin kutatap baitullah-Mu
Ingin kukucup hajar aswadmu
Ingin kuhirup sepuas-puasnya air suci-Mu
Ingin kudaki Uhud
Inigin kusinggahi Raudhah
Ingin kuziarahi makam baginda

Hati aku pilu
Seorang demi seorang teman diundang ‘ke sana’
Berpeluang menjadi tetamu-Mu
Sedang aku masih di sini
Dalam suasana yang kucar kacir ini
Bergelumang dosa dan alpa

Hati ini memujuk
‘Sudah rezeki mereka untuk ke sana,
akan tiba peluangku pula’
InsyaAllah, masanya akan tiba
Meski tidak semasa bernyawa
Paling tidak membawa cita dan cinta yang tinggi untuk ke sana
Amin...

Tuesday, September 18, 2007

(3) PILU YANG MENGUSIK JIWA

*********************
'Allahmuma baariklana fi Rejab wa Sya’ban wa ballighna ila Ramadhan’
[1]
Pagi itu, 25 Syaaban. Tinggal beberapa hari sahaja lagi tetamu yang dirindui akan bertandang menziarah iaitu Ramadhan al-Mubarak. Setelah menyelesaikan bacaan mathurat, hizib Bahar dan hizib Nawawi, Nur bangkit menanggalkan pakaian solatnya dan digantung kemas di birai katil. Tingkap bilik dibuka luas. Subhanallah, bukit bukau nun terbentang di hadapan samar-samar dek kerana diselaputi kabus. Dalam kesamaran, ada sinar cahaya yang cuba memperlihatkan diri di celahan-celahan kabus dan bukit-bukau itu. Sangat indah dan memukau. Subhanallah. Sehandal mana pun seorang pelukis itu, pasti tidak akan dapat menukilkan lukisan seindah apa yang dilihat kini. Begitulah indahnya dan agungnya ciptaan Allah. Tiada tolok bandingnya. Suasana yang indah itu mengingatkan Nur pada peristiwa yang berlaku hampir 10 tahun yang lalu.

“Nur, mari kejap! Tanda nama Kak Iman jatuh dalam longkang.” Nur yang sedari tadi berada 1.5 meter dari tempat Kak Iman berdiri segera berlari untuk mendapatkannya.

“Ya Allah….” Hanya itu yang mampu Nur ucapkan.
Kalau longkang tempat jatuh tanda nama itu tidak dalam, maka dia tidak gusar. InsyaAllah, dia boleh berusaha untuk mengambilnya sendiri. Namun, kudratnya tidak mengizinkannya berbuat demikian. Sedang Nur asyik berfikir, dia menyiku Kak Iman. Serta merta pandangan keduanya terarah pada dua batang tubuh yang sedang memerhatikan mereka.

“Kak Iman, tu Muhammad dan Adam kat sana. Minta tolong mereka boleh tak?” Nur meminta pandangan Kak Iman. Dia melihat keadaan sekeliling. Tiada sesiapa melainkan Muhammad dan Adam. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa mengharapkan khidmat Muhammad dan Adam untuk mengambil tanda nama yang terjatuh itu.

“Terima kasih.” Ucap Kak Iman pada mereka berdua.

“Lain kali hati-hati. Kami pergi dulu. Assalamualaikum.” Balas Muhammad.
Detik itu adalah buat pertama kalinya Nur dan Kak Iman bertegur sapa dengan Muhammad dan Adam. Sebelum itu, mereka hanya sekadar tahu nama. Mereka selalu dipertemukan untuk urusan tertentu. Antaranya, mereka berempat telah terpilih untuk mewakili Sekolah Menengah Islam ar-Raudhah bagi pertandingan pantun, tilawah dan hafazan. Ketika itu Nur, Muhammad dan Adam masih di Tahun 5, manakala Kak Iman di Tahun 6. Lagi pula, mereka berempat adalah antara penghuni Rumah Anak Yatim ar-Raudhah yang paling dikenali di kalangan guru, penyelia dan rakan-rakan kerana kecemerlangan mereka dalam akademik dan aktiviti luar. Mereka sama-sama aktif dan cemerlang. Hatta sehingga ke menara gading, takdir Allah menetapkan mereka sekali lagi belajar dan menetap di universiti yang sama.

“Tit tit..” Bunyi mesej mengejutkan Nur dari lamunan lampau. ‘1 message received’ tertera jelas pada skrin telefon. Mesej dari Muhammad.

Ayatnya berbunyi, ‘Salam Ramadhan al-Mubarak buat Nur dan Kak Iman. Moga sentiasa di bawah lembayung kasih sayang ALLAH. Dari Muhammad dan Adam’

Nur tersenyum sendiri sambil menekan keypad membalas mesej tersebut sesuai keadaan. Ternyata Allah mengikat hati-hati mereka. Baru sebentar tadi dia teringatkan kisah lampau mereka berempat, akhirnya tanpa disangka salah seorang dari mereka menghadirkan diri menghantar tanda ingatan dan persaudaraan. Subhanallah.

****************************
[1] Wahai Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.

Harap Hanya Pada-NYA

(taken from muhtarsuhaili.com)



Mengimbas Ramadhan yang hampir seminggu berlalu, aku terpaku. Apakah yang telah kulakukan pada masa yang telah berlalu itu? Apakah telah dilaksanakan apa yang kurancang dan aku hajatkan sejak sebelum Ramadhan lagi? Ya Allah, jangan kau biarkan aku termasuk di kalangan orang yang berkata-kata, tetapi tidak melaksanakan apa yang diperkatakan. Sangat besarlah kemurkaan Allah andai sedemikian rupa. Na’uzubillah..




Mengimbas kembali tazkirah malam Isnin yang kudengar 2 minggu lalu, benar-benar mengesankan hatiku. Beberapa nasihat berkenaan Ramadhan dihidangkan kepada hadirin. Antaranya, nasihat itu berbunyi:


Adalah sebaiknya berjaga di malam hari untuk bermuzakarah, untuk urusan ilmu dan ibadah. Masya-Allah, tidur di siang hari bagi orang yang berpuasa akan beroleh puasa. Apatahlagi berjaga di malam hari untuk beribadah.


Sudah 2 minggu berlalu, aku benar-benar jatuh cinta pada satu doa yang diijazahkan dari Us Raja Ahmad Mukhlis[1] pada malam itu, daripada Syeikhna; Syeikh Yusof al-Hasani. Doa itu berbunyi,


“Allahumma ikhtarli, wa la taj’alni akhtar”
Ya Allah, pilihkanlah untukku, dan jangan biarkan aku yang memilih.


Meski ringkas, namun doa itu menyimpan rahsianya yang tersendiri. Cukup besar maknanya. Betapa Allah adalah sebaik-baik penentu pada segala sesuatu dan kita adalah hamba yang lemah lagi jahil. Wallahualam..





[1] Mengingatnya membuat diri ini berasa begitu kerdil dan jahil. Meski seumurku, namun masya-Allah, ilmunya begitu luas dan mendalam. Itulah berkat sentiasa berdampingan dengan orang ‘alim dan shaleh.

Thursday, September 13, 2007

(2) PILU YANG MENGUSIK JIWA

*********************

Hari-hari di kampus berjalan seperti biasa. Tempoh pengajian berbaki hampir 1 bulan lagi. Tidak lama selepas itu, semua mahasiswa akan cuti selama sebulan untuk meraikan Syawal yang mulia. Seawal jam 10 pagi, Nur sudah tiba di hospital untuk kali yang kedua. Kali pertama dia datang adalah seminggu yang lalu ketika membuat pemeriksaan kesihatan. Kalau tidak kerana sakit yang teramat sangat, pasti Nur tidak akan datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Nur, keputusan pemeriksaan kesihatan awak ada di dalam sampul ini. Bacanya dengan teliti dan tenang. Ingatlah, segala yang berlaku tidak lain dan tidak bukan adalah ketentuan Allah yang pastinya menyelitkan seribu satu rahmat dan hikmah buat hamba-Nya.”
Serentak dengan itu, Nur menyambut kemas surat yang dihulurkan padanya. Dibuka perlahan surat itu dan dibacanya dengan tenang. Agak lama dia tunduk menatap baris ayat pada surat itu. Saat itu yang terbayang di fikiran adalah sekalian orang-orang dikasihinya termasuklah rakan-rakan sepengajian iaitu Zwani, Angah, Umi, Acu, dan Kak Iman. Ada manik jernih mengalir di pipinya tanpa dipinta. Segera dikesat air mata itu agar tidak dilihat oleh Dr. Zulfikri. Walau cuba diselindung, Dr. Zulfikri dapat melihatnya. Nur mengangkat wajah. Sedaya upaya dia melemparkan senyuman buat Dr. Zulfikri yang berada di hadapannya. Dr. Zulfikri membalasnya dengan senyuman juga.

Alhamdulillah... Innalillah...” Lafaznya perlahan, antara dengar dan tidak. Namun begitu, Dr. Zulfikri masih dapat mendengarnya. Dia sedikit terkejut, namun kagum.
''Terima kasih doktor. Diharap doktor sudi merawat penyakit saya ini selagi termampu. Lagi satu, jangan pernah beritahu pada sesiapa pun, samada pada keluarga ataupun sahabat-sahabat saya. Boleh, doktor?” Nur memohon sesuatu dari Dr. Zulfikri. Dr. Zulfikri terdiam seketika.
“InsyaAllah. tapi jangan lupa untuk menjalani rawatan setiap 2 minggu sekali di sini. Boleh?” Respon Dr. Zulfikri dengan nada ceria bagi menangkis sejauh-jauhnya kerunsingan di hati Nur.
“InsyaAllah. Terima kasih doktor. Saya pergi dulu. Assalamualaikum.” Nur minta diri.
“Wa’alaikumussalam. Subhanallah.”
Hanya itu yang mampu dilafazkannya sebagai tanda syukur pada ingatan dan tarbiyyah Allah kepadanya pada hari itu. Hari itu, Dr. Zulfikri mempelajari sesuatu mengenai ketabahan seorang insan dalam menerima takdir-Nya. Begitulah sifat orang beriman, menerima segala ketentuan ke atasnya dengan tenang, senyuman dan lafaz Alhamdulillah serta Innalillah.

Hari masih awal. Memikirkan tidak ada sebarang kerja penting yang perlu dilakukan pada hari itu, maka Nur menghabiskan masa sehingga jam 2 petang di hospital untuk menziarahi para pesakit yang berada di wad berdekatan. Hati Nur begitu tersentuh melihat keadaan para pesakit yang pelbagai. Semua itu cukup menyedarkan Nur untuk terus kuat mengharungi ujian yang sedang diberikan Allah kini. Sesakit mana yang dirasa, ada lagi kesakitan yang lebih teruk yang ditanggung oleh orang lain.

*********************

Wednesday, September 12, 2007

RAMADHAN KAREEM

Sebagai satu motivasi kepada diri


Ramadhan ini adalah yang terakhir buatku.

Maka, aku mesti melakukan yang TERBAIK!!

Moga Allah memanduku ke arah ketaatan


yang ikhlas dan berpanjangan kepada-Nya.

Amin...

Tuesday, September 11, 2007

FAGHFIRLI YA ALLAH

Ampuni aku Ya Allah..
Kerana kelalaian dan kedhaifanku
Melayari bahtera hidup sepanjang hari
Tak tahu malu
Bergelumang dosa dan hal yang sia-sia
Iman dan taqwa dicampak jauh entah ke mana
Siang leka lupa Pencipta lalu di malamnya lena
sampai ke fajar
Walau dah dibangkitkan di malam hari
Hanya Engkau sahaja yang tahu
Betapa berat dan sukarnya jalan menuju redha-Mu
Walau hati ini tahu
Kemalasan akan mengakibatkan dosa dan murka-Mu

Ampuni aku Ya Rahman…
Semalam aku berdosa
Aku kesal
Cuba untuk menangisi dosa diri
Ku cuba
Walau bukan mudah mencairkan air mata ini yang beku akibat dari kerasnya hati
Kekerasan hati yang berakibat dari banyaknya dosa
Dosa yang berpunca dari kecintaan pada dunia
yang sementara
Ya Rabbi….
Ku damba air mata khauf itu

Namun…
Belum sempat kesedaran itu mekar berkembang
di dalam jiwa yang dhaif ini
Hari ini..
Telah ku lupa harapanku semalam
Kasih dan redha yang kudambakan dari-Mu
Aku kembali memungkiri taubatku
Dengan mudah memohon ampun pada-Mu
Lalu dengan dengan mudah juga menjemput kembali bertandang murka-Mu kepadaku

Ya Rahim…
Aku sedar
Tiada kuasa yang dapat mengatasi kekuasaan-Mu
Engkaulah sebaik-baik Perancang dan Penentu
Setiap suatu adalah tarbiyyah dari-Mu

Ya Allah….
Selamatkanlah agamaku,
Selamatkanlah imanku
Wahai Yang Membolak-balikkan hati ini….
Tetapkan hati ini pada agama-Mu
Sentiasa taat pada syariat-Mu
Istiqamah pada jalan yang diredhai-Mu

Segala puji bagi-Mu Ya Allah..
Kerana menempatkan aku ‘di sini’
Di dalam suasana yang penuh ilmu dan perlaksanaan
amal Islami
Walau Engkau lebih mengetahui hakikatnya
Diri yang faqir ini tak layak untuk semua ini
Segala puji bagi-Mu Ya Allah..
Kerana memberi apa yang ku perlukan
Walau tak semua yang ku pinta

Ampuni aku Ya Ghaffar
Kedua ibu bapaku, saudaraku, kaum kerabatku,
sahabat-sahabiah serta sekalian muslimin dan muslimat
Berilah kami hidayah dan taufiq-Mu
Kurniakan kami redha-Mu serta jauhkanlah kami
dari murka-Mu
Wahai Yang Memperkenankan doa
Perkenankanlah doa aku ini
Amin Ya Rabbal ‘Alamin….

Monday, September 10, 2007

(1) PILU YANG MENGUSIK JIWA

PILU YANG MENGUSIK JIWA

Pagi yang hening itu, mendamaikan jiwa, menenangkan fikiran. Penghuni Mahallah
[1] Ameenah masih lena dibuai mimpi. Ada yang berpaling tubuh ke kanan dan ke kiri, ada yang kaku beradu dan ada pula yang asyik menarik selimut menyelimuti tubuh bagi menangkis hawa yang sejuk di pagi hari.

“Allahu Akbar… Allahu Akbar!!..”
“Allahu Akbar… Allahu Akbar!!..”
“Ashadu allaailaaha illallah...”

Nur bangkit dari perbaringan. Laungan azan Subuh menyedarkannya dari lena yang panjang. Jam B.U.M hitam di tangan kanan menunjukkan sudah 6.00 pagi. Nur bangun sebentar bagi menjenguk Kak Iman di katil atas. Ternyata Kak Iman masih nyenyak di perbaringan. Maklumlah berjaga sehingga jam 3.30 pagi, pastinya letih dan mengantuk. Lagipula, Kak Iman ‘uzur. Maka tidak perlulah bimbang kalau-kalau terkorban solat Subuh hanya kerana berjaga sehingga lewat malam.

“Ya Allah…” Kalimah mulia itu menjadi muqadimah hidup Nur hari itu.

“Alhamdulillahillazi ahyaana ba’da maa amaatanaa wa ilaihinnusyur[2].” Dia menadah tangan memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Yang Maha Esa

Nur tunduk. Dia merintih perlahan.

“Ya Allah, sekali lagi aku mengingkari janjiku untuk menghadap-Mu, bermunajat dan memohon taubat pada-Mu di keheningan malam. Sudah 4 hari ya Allah. Apa dah jadi pada diriku ini. Aku rindukan nikmat ketenangan dan kebahagiaan merintih dan mengadu pada-Mu. Kurindukan air mata khauf akan seksa-Mu. Ya Allah, berikanlah kekuatan untukku mengislahkan diri agar hari ini lebih baik dari hari-hari yang telah berlalu. Ya Allah, permudahkanku agar sentiasa mengingati-Mu, bersyukur pada-Mu serta memperbaiki ibadahku. Wahai Yang Memperkenankan Doa, perkenankanlah doaku. Amin.” Ada manik putih membasahi pipi Nur yang gebu dan bersih. Ditahan esak tangisnya agar tidak mengganggu tidur Kak Iman.

Nur mula bangkit bergerak ingin ke bilik air. Langkahnya terhenti tiba-tiba. Dirasakan kesakitan yang amat sangat pada pangkal rahimnya. Pagi ini bukanlah kali pertama keadaan seperti itu menghantuinya. Kesakitan itu sudah berlanjutan hampir sebulan tanpa diketahui sesiapa. Nur terbaring mengerang kesakitan di atas katil hampir sepuluh minit. Merasa sakitnya berkurangan, dia meneruskan hajatnya membersihkan diri seterusnya mengambil wudhuk untuk menghadap Sang Kekasih.

“Allah Akbar.” Takbir dilafaz memulai perjumpaannya dengan Allah Yang Maha Esa.
Satu demi satu pergerakan dilakukannya dengan sesempurna mungkin dan toma’ninah. Al-fatihah dibaca dengan penuh penghayatan dan keinsafan. Hampir sepuluh minit berlalu, detik yang sangat menenangkan itu berakhir jua.

“Assalamualikum warahmatullah..” Dipalingkan wajahnya ke kanan sambil di dalam hati melafazkan doa ‘Allahumma inni asaluka ridhaka waljannah[3]’. Kemudian diikuti dengan salam ke kiri beserta doa ‘Allahumma inni a’uzubika min sakhatika wannar[4].

“Alhamdulillah.” diusap wajahnya perlahan. Bibirnya tidak lekang mengucapkan istighfar, tasbih, tahmid, tahlil dan takbir.
*********************

[1] Asrama atau kolej
[2] Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami, setelah mematikan kami, dan hanya kepada-Nya lah kami dibangkitkan. Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Faathul Baari XI/113 dan Muslim IV/2083.
[3] Wahai Allah, aku memohon redha-Mu dan syurgamu
[4] Wahai Allah, aku memohon perlindungan dari murka dan dari azab api neraka-Mu

Friday, September 7, 2007

Yang Mana Satu

“Hidup adalah sebuah pilihan. Memilih bermakna bersedia menerima kehilangan sesuatu. Kehilangan bukan bererti kerugian. Yang hilang pasti akan diganti dengan sesuatu yang lebih bermakna.”

Setiap apa yang ada di hadapan kita akan datang beriringan. Baik atau buruk, lelaki atau perempuan, ya atau tidak, lembut atau keras, dendam atau memaafkan, sabar atau berputus asa dan lain-lain lagi. Fitrah kehidupan, pasti adanya sebab dan akibat. Setiap suatu pilihan, akan menyusul padanya kesan atau lanjutan yang berbeza.

Situasi 1 :

Wang di saku hanya berbaki RM30 untuk belanja seminggu ini. Seorang sahabat datang dengan wajahnya yang sayu dan penuh mengharap. Aku sudah menjangkakan. Sahabatku ditimpa musibah. Aku ingin memberi wang yang kumiliki kepada sahabatku itu. Kesemuanya. Bagaimana dengan wang belanjaku? Beri sebahagian? RM30 sahaja tidak mencukupi untuk belanjaku bagi tempoh seminggu, apatahlagi hanya separuh darinya. Sekiranya tidak kuberi, kasihan sahabatku. Hanya aku yang paling rapat dengannya. Emm, atau aku mungkin boleh meminjam dari sahabat yang lain. Tapi, bukankah berhutang itu amalan yang disukai oleh Rasulullah? Apa yang harus kulakukan?

Beruntunglah orang yang berkorban. Itsar adalah tingkat tertinggi dalam berukhuwwah. Kehilangan bukan bermakna kerugian. Yakinlah bahawa sesiapa yang berusaha untuk memudahkan urusan saudaranya, maka Allah pasti akan memudahkan urusannya kelak. Akan datang bantuan yang tidak disangka-sangka samada secara terus dari-Nya atau melalui makhluk-Nya.

Situasi 2 :
Saat terjaga di waktu pagi lebih kurang jam 5 pagi, terdetik di hati; masih awal lagi. Maka aku lalu meneruskan tidur. Atau sebaliknya yang berlaku. Alhamdulillah, Allah membangkitkan aku di hening pagi ini. Aku lalu bangkit dari lena yang panjang ke arah munajat yang mendamaikan.

Beruntunglah hamba yang memanfaatkan kesempatan tersedar di pagi hari dengan bangkit untuk beribadah walau sekadar solat sunat 2 rakaat @ sekadar zikir ringkas @ sekadar mengaji beberapa potong ayat Allah dari al-Quran. Rugilah hamba yang melanjutkan tidurnya tanpa menghargai kesempatan berharga itu (tersedar di pagi hari). Sedang ada hamba lain yang amat mengidami untuk bangkit beribadah di hening pagi tetapi begitu sukar untuk terjaga. Yang mana pilihanmu?? The choice is yours! You know yourself! Allah know better who I am!

Begitulah betapa setiap ketika memerlukan kita untuk berbuat keputusan. Di sinilah terlihat betapa lemahnya insan dalam menilai dan membuat keputusan. Maka, terlihat jelas betapa besar peranan istikharah. Moga Allah memberatkan hati kita pada memilih yang terbaik dalam hidup dan terpelihara dari berbuat kesilapan.
Betapa pergantungan yang sepenuhnya hanya kepada Allah. Sandarkan segala sesuatu hanya kepada-Nya walau pada seremeh-remeh perkara seperti memilih antara ingin diam atau bercakap banyak atau pada sebesar-besar perkara seperti pada menentukan ‘aqidah atau dalam memilih jodoh.

Inilah masanya untuk membuang perasaan keakuan @ ‘ananiyah (merasa segala sesuatu adalah dari kudrat dan daya usahanya semata) kepada merasa bahawa diri adalah ciptaan yang lemah dan amat memerlukan Allah sebagai sebaik-baik tempat pergantungan dan tempat meminta bantuan. Ilahi, anta maqsudi wa ridhaka mathlubi.

Dekat Di Hati

Hidup adalah sebuah pilihan
Memilih bererti berkorban
Memilih bermakna akan kehilangan sesuatu
Hilang bukan bererti rugi
Yang hilang akan diganti Allah dengan sesuatu yang lebih baik

Tiadalah hamba daya untuk berbuat sesuatu
Melainkan dengan izin-Nya
Sandarkan segala pada-Nya
Dialah sebaik-baik tempat bergantung
Dialah cinta utama
Dialah di hati

One Step Ahead

Bismillahirrahmanirrahim..
Dengan nama Allah, aku memulakan hari. Dan dengan kalimah itu jugalah ku awali blog ini. Semoga setiap yang dihasilkan dan terpapar di blog ini, adalah suatu yang bermanfaat. Suatu yang diredhai Allah dan bukanlah sesuatu yang sia-sia.
Semoga diri yang menulis, dan sekalian insan yang membacanya akan beroleh manfaat. Segala kekurangan mohon dimaafkan. Segala kesilapan, tegurlah agar ianya bisa diperbetulkan. Jazakumullah khairan jaza’.


-al-faqirah-