Thursday, September 13, 2007

(2) PILU YANG MENGUSIK JIWA

*********************

Hari-hari di kampus berjalan seperti biasa. Tempoh pengajian berbaki hampir 1 bulan lagi. Tidak lama selepas itu, semua mahasiswa akan cuti selama sebulan untuk meraikan Syawal yang mulia. Seawal jam 10 pagi, Nur sudah tiba di hospital untuk kali yang kedua. Kali pertama dia datang adalah seminggu yang lalu ketika membuat pemeriksaan kesihatan. Kalau tidak kerana sakit yang teramat sangat, pasti Nur tidak akan datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Nur, keputusan pemeriksaan kesihatan awak ada di dalam sampul ini. Bacanya dengan teliti dan tenang. Ingatlah, segala yang berlaku tidak lain dan tidak bukan adalah ketentuan Allah yang pastinya menyelitkan seribu satu rahmat dan hikmah buat hamba-Nya.”
Serentak dengan itu, Nur menyambut kemas surat yang dihulurkan padanya. Dibuka perlahan surat itu dan dibacanya dengan tenang. Agak lama dia tunduk menatap baris ayat pada surat itu. Saat itu yang terbayang di fikiran adalah sekalian orang-orang dikasihinya termasuklah rakan-rakan sepengajian iaitu Zwani, Angah, Umi, Acu, dan Kak Iman. Ada manik jernih mengalir di pipinya tanpa dipinta. Segera dikesat air mata itu agar tidak dilihat oleh Dr. Zulfikri. Walau cuba diselindung, Dr. Zulfikri dapat melihatnya. Nur mengangkat wajah. Sedaya upaya dia melemparkan senyuman buat Dr. Zulfikri yang berada di hadapannya. Dr. Zulfikri membalasnya dengan senyuman juga.

Alhamdulillah... Innalillah...” Lafaznya perlahan, antara dengar dan tidak. Namun begitu, Dr. Zulfikri masih dapat mendengarnya. Dia sedikit terkejut, namun kagum.
''Terima kasih doktor. Diharap doktor sudi merawat penyakit saya ini selagi termampu. Lagi satu, jangan pernah beritahu pada sesiapa pun, samada pada keluarga ataupun sahabat-sahabat saya. Boleh, doktor?” Nur memohon sesuatu dari Dr. Zulfikri. Dr. Zulfikri terdiam seketika.
“InsyaAllah. tapi jangan lupa untuk menjalani rawatan setiap 2 minggu sekali di sini. Boleh?” Respon Dr. Zulfikri dengan nada ceria bagi menangkis sejauh-jauhnya kerunsingan di hati Nur.
“InsyaAllah. Terima kasih doktor. Saya pergi dulu. Assalamualaikum.” Nur minta diri.
“Wa’alaikumussalam. Subhanallah.”
Hanya itu yang mampu dilafazkannya sebagai tanda syukur pada ingatan dan tarbiyyah Allah kepadanya pada hari itu. Hari itu, Dr. Zulfikri mempelajari sesuatu mengenai ketabahan seorang insan dalam menerima takdir-Nya. Begitulah sifat orang beriman, menerima segala ketentuan ke atasnya dengan tenang, senyuman dan lafaz Alhamdulillah serta Innalillah.

Hari masih awal. Memikirkan tidak ada sebarang kerja penting yang perlu dilakukan pada hari itu, maka Nur menghabiskan masa sehingga jam 2 petang di hospital untuk menziarahi para pesakit yang berada di wad berdekatan. Hati Nur begitu tersentuh melihat keadaan para pesakit yang pelbagai. Semua itu cukup menyedarkan Nur untuk terus kuat mengharungi ujian yang sedang diberikan Allah kini. Sesakit mana yang dirasa, ada lagi kesakitan yang lebih teruk yang ditanggung oleh orang lain.

*********************

No comments: