Monday, September 24, 2007

(4) PILU YANG MENGUSIK JIWA

****************************
Petang Sabtu bersamaan minggu ketiga Ramadhan, Nur dan Kak Iman keluar ke bandaraya Kuala Lumpur untuk membeli barang bagi persiapan hari raya. Nur akan beraya bersama keluarga angkatnya sama seperti Kak Iman. Setelah agak penat berjalan, mereka duduk sebentar di kerusi di dalam sebuah pusat membeli belah di ibu kota.

“Nur, diam tak diam sudah hampir 10 tahun kita saling mengenali. Akak dah anggap Nur macam saudara kandung akak sendiri.” Nur sekadar senyum mendengar kata-kata Kak Iman. Dia berfikir mengenai sesuatu.

“Emm, apa kata tahun ini kita berpakat untuk pakai baju raya yang sama. Walau tidak berada di tempat yang sama, kita boleh memakai baju yang sama menandakan kesamaan dan kesatuan hati kita yang tidak mengenal masa dan keadaan. Setuju?” Cadang Nur.

“Okey jugak. Nak warna apa? Warna biru boleh tak?” Respon Kak Iman.

“Warna biru. Emm, warna biru dah biasa. Kalau warna hijau, boleh tak? Lagipun hijau kan warna kecintaan Rasulullah s.a.w.”

“Kalau akak kata akak nak warna biru macam mana? Biru kan cantik.” Nur cuba memahami Kak Iman yang menginginkan warna biru kerana warna itu adalah warna kegemarannya. Hari itu pun jubah yang dipakai Kak Iman berwarna biru laut. Tapi entah kenapa hati Nur bertegas inginkan warna hijau walaupun sebenarnya dia tidak turut ketinggalan menyukai warna biru. Nur membisu agak lama

“Kak Iman, Nur ada satu permintaan terakhir.” Kata Nur serius. Kak Iman sepertinya tidak endah pada keseriusan Nur itu.

“Cakaplah, apa dia?”

“Kalau kita pilih warna hijau boleh tak? Nur mengharap, sangat” Tanpa disedari kelihatan bola mata Nur digenangi air mata yang tidak diundang. Kak Iman kaget.

“Eh, Nur ni kenapa? Janganlah serius sangat. Okey, kali ni je tau. Lain kali kita pilih warna biru pula.” Kak Iman yang agak terkejut dengan keadaan Nur akhirnya mengalah.

“Thank you my dear sister” Hanya itu yang mampu diucapkan oleh Nur. Kak Iman di sisi dipeluk erat tanda hatinya benar-benar gembira. Genangan air di kelopak mata tidak tertahan lagi.

“Terima kasih kerana memenuhi permintaan terakhir Nur”

“Kenapa cakap macam tu? Jangan merepeklah!” Kak Iman kurang selesa dengan sikap Nur hari itu.

“Sorry. Yang Nur maksudkan, ianya adalah permintaan terakhir Nur untuk hari ini. Esok-esok permintaan lain pula” Jelas Nur dengan nada gurau.

“Eh, budak ni. Suka main-main.” Kak Iman sekadar menggelengkan kepala melayan telatah Nur.

“Kalaulah baju raya itu sempena meraikan ukhuwwah kita sejak di Rumah Anak Yatim ar-Raudhah dulu, kita telah terlupa Muhammad dan Adam. Bukankah mereka juga sudah menjadi sebahagian daripada saudara kita?. Kita senasib dan pernah merasa senang dan susah bersama. Bahkan kalau boleh, Nur nak ajak Zwani, Angah dan sahabat-sahabat semua bersepakat membeli baju yang sama. Tapi, tidak mengapa. Kita buat lain kali ye, walaupun masa tu Nur dah tiada.” Satu lagi cadangan bernas daripada Nur.

“Nur tak ada? Kenapa cakap macam tu. Nur nak ke mana?” Sekali lagi Kak Iman keliru dengan sikap Nur. Hatinya mula tidak tenang.

“Nur nak ke bilik airlah. Sementara itu Kak Iman tolong hantar mesej pada Muhammad atau Adam untuk minta persetujuan daripada mereka, boleh? Tolong ye. Thanks” Nur terus berlalu tanpa menunggu jawapan dari Kak Iman. Dibiarkan Kak Iman sendirian berusaha menyusun ayat untuk dihantar pada Muhammad atau Adam. Di bilik air, Nur menangis. Dia kesal apa yang telah dilakukan dan diperkatakannya sebentar tadi.

’Ya Allah, apakah petanda pada semua ini? Adakah ini tandanya Engkau sudah hampir menjemputku pergi. Andai benar, jangan kau biarkan saudarku berduka, Ya Allah. Kurniakan mereka kegembiraan sampai saat aku dijemput pulang kelak, Ya Allah. Bantulah aku dan sahabat-sahabatku, Ya Rahman. Amin.’, rintih Nur di dalam hati. Tidak menunggu lebih lama, Nur segera mengelap sisa air matanya. Dikesat bersih-bersih kesan tangisannya agar tidak dilihat oleh Kak Iman walaupun sedikit. Dia tidak mahu Kak Iman bimbang.

“Macam mana, mereka setuju? Mereka nak warna apa?” Pertanyaan pertama Nur sekembalinya dari bilik air. Kak Iman menyambut pertanyaan itu dengan senyum melebar.

“Mereka setuju. Mereka suruh kita yang pilih. Tak kisah warna apa, asalkan sedap pada pandangan mata”

“Alhamdulillah. Kalau macam tu apa lagi. Jom kita pergi cari baju melayu yang sesuai untuk mereka dan jubah yang sesuai untuk kita berdua.” Memulakan operasi mencari, mereka melintasi sebuah kedai yang menjual kaset dan vcd berbagai genre muzik.

‘di hati
bersama mengembara
tiba saatnya tika saatnya
ku terasa
merentas lautan kasih
sinar iman yang teguh
redup menerangi hati sanubariku’

Kedengaran bait lagu Di Hati nyanyian kumpulan D’hearty. Nur merangkul erat tangan Kak Iman.

“Lagu ini ditujukan khas buat Akak dan sahabat-sahabat semua.” Kak Iman hanya membalas kata-kata itu dengan senyuman.

Lagu itu amat bermakna buat mereka semua.

‘…akan bersama
menempuh segalanya
bersatu hati mendamaikan
jiwa yang keluh resah
janji pasti bersama
ikatan teguh setia…’

Dua jam berlalu, apa yang dicari akhirnya ditemui.

‘Ya Allah, moga apa yang kami pilih hari ini adalah di bawah naungan petunjuk dari-Mu. Moga kami telah memilih yang terbaik buat kami semua di sisi-Mu, di dunia dan di akhirat.’ Doa Nur di dalam hati.

*************************

1 comment:

Al haqeerah said...

Salam..

InsyaAllah.. Allah tu dekat.. Maha mendengar setiap doa. Bila la dapat kesana kan nad.. :(

Doa2 la satu kapal terbang.. :) InsyaAllah..