"Auni, abang Khairul ada terjumpa kawan baiknya, Muhammad minggu lalu. Muhammad itu ada menyatakan hasratnya untuk menikah. Tapi belum ada calon lagi, katanya. So.." Kak Safiyyah memulakan bicara di suatu petang ketika dia datang menziarahiku di rumah.
"So?"Tanyaku lembut apabila menyedari kata-kata Kak Safiyyah terhenti pada kalimah itu.
"So, akak tengok kamu ni sesuai dengan Muhammad. Muhammad itu diyakini agamanya, daripada keturunan baik-baik, ramah, sangat rendah hati dan berbudi bahasa orangnya. Sesuailah dengan kamu yang tidak banyak bicara namun cukup dewasa dan bijaksana." Kunyahan pisang goreng yang masih bersisa di dalam mulut seperti tersekat di kerongkong. Aku terkedu dengan penyataan Kak Safiyyah itu.
"Akak rasa sudah tiba masanya untuk kamu memikirkan tentang hal ini. Lagipun, pengajian kamu akan tamat tidak lama lagi, kan. Akak bersungguh ni, Auni. Akak dan Auni pun tahu kan, perkahwinan bukan perkara kecil yang boleh diambil ringan. Setelah beberapa hari mempertimbangkannya, akak bersandar sepenuhnya pada solat istikharah yang akak lakukan dan tawakkal yang tidak berbelah bahagi pada-Nya. Akak yakin dengan gerak hati akak, Auni" Sambung Kak Safiyyah lagi sebelum sempat aku berkata apa.
"Emm…." Kunyahan goreng pisang di mulut sudah ditelan. Aku menyandarkan tubuhku di sofa.
"Akak bagi Auni masa untuk berfikir, boleh?" Aku cuba bertoleransi.
"Insya-Allah, akak tunggu. Kalau Auni terima, akak akan usahakan agar dia bicara terus dengan ibu kamu. Itu lebih baik bukan?"
"Terima kasih kerana memahami diri ini. Memang itu hasrat di hati. Bila ianya sudah pasti, Auni akan memaklumkan jawapannya kepada akak." Aku sudah menegakkan belakang tubuh dari bersandar di sofa.
"Insya-Allah. Terima kasih Auni kerana mempercayai kakak angkatmu ini." Aku sekadar mampu melemparkan senyuman pada Kak Safiyyah yang tersirat padanya bermacam-macam rasa. Takut, terperanjat, bimbang dan gembira.
******************