"Alhamdulillah." Kalimah itu terlafaz sebaik kaki melangkah keluar dari dewan peperiksaan.
Setelah hampir dua minggu berhempas pulas, kini usai sudah peperiksaan bagi semester akhirku. Tidak terasa setelah pelbagai mehnah dan cabaran ditempuhi hampir 6 tahun, berakhir jua pengajianku di sini. Pelbagai hal telah ditempuh dan pastinya memberi begitu banyak pengajaran yang amat berguna buatku. Pengalaman berharga yang pastinya tidak bisa dijual beli atau dikutip semudah mengutip kerikil di tepi jalan. Memerlukan kesabaran dan keteguhan hati.
Kulirik jam hitam di pergelangan tangan kananku. Sudah jam 11.40 pagi. Aku teringat akan janjiku pada emak untuk pulang ke rumah. Lantas, aku menunggang cermat motosikalku ke mahallah
[1] yang berada nun jauh di atas bukit. Setibanya di bilik, suasana sepi. Fatimah, Aisyah dan Zainab belum pulang dari menghadiri peperiksaan. Setelah mengemas apa yang perlu dan meninggalkan sekeping nota kecil buat teman sebilik bagi menyatakan kepulanganku ke rumah buat beberapa hari, aku mula mengorak langkah keluar meninggalkan bilik.
Sebelum langkah kuhayun lebih jauh lagi, aku berfikir-fikir kalau ada barang penting yang aku tertinggal untuk dibawa pulang. Beg duit, telekung, sehelai tuala kecil dan senaskhah terjemahan al-Quran hijau kesayangan pemberian sahabat baikku sudah kubawa.
"Bismillahirrahmanirrahim. Subhanallazi sakhhorolana haza wama kunna lahu mukrinin. Wa inna ila Robbina lamun qolibun.[2] Amin." Ucapku sebelum memulakan perjalanan.
Sebaik minyak dipulas perlahan pada kadar gear satu, maka meluncurlah motosikalku di atas jalanraya pada kelajuan yang sederhana. Di hati, tidak henti beristighfar dan berselawat ke atas Nabi memohon keampunan dan pemeliharaan daripada Allah di sepanjang perjalanan.
3 kilometer berlalu, tanpa disedari kelajuan tungganganku hampir mencecah 110km/j. Secara beransur-ansur, aku mengurangkan kelajuan. Perlakuan yang begitu mudah semudah ketika memecut laju di awal perjalanan tadi. Aku bukanlah seperti berada dalam situasi Sandra Bullock di dalam filem Speed, di mana sebaik sahaja bas yang dipandu melebihi 50km/j maka kelajuannya tidak boleh dikurangkan di bawah 50km/j atau bom yang dipasangkan pada bas tersebut akan meletup.
Tidak terasa sudah hampir 30 minit perjalananku. Lebuhraya Kesas baru sahaja aku lewati 10 minit yang lalu. Ini bermakna, hanya tinggal beberapa ketika sahaja lagi aku akan tiba di rumah. Sedang tumpuanku tertumpu di jalanraya mencari simpang masuk ke kawasan perumahan tempat tinggalku, aku dikejutkan oleh sebuah Rexton hitam yang memecut laju memintasku lalu menghimpitku ke bahagian kiri jalan. Aku hilang kawalan lalu rebah di tepi jalan. Daguku terhantuk kuat pada bakul motosikal manakala tapak tangan kiri dan pergelangan hingga ke siku kiriku tergesel pada jalan tar sehingga koyak sweater yang kupakai. Kaki kiriku pula terhimpit oleh motor yang jatuh menimpaku. Sangat memeritkan.
'Nak bunuh orang ke?' Gertakku hanya di dalam hati.
Aku beristighfar panjang. Tidak sampai hati untuk menzahirkan kata-kata tersebut. Silap-silap nanti aku pulak yang digertaknya. Tanpa ada sedikit rasa bersalah atau belas kasihan, Rexton hitam itu tidak berhenti walau sedetik pun untuk melihat keadaanku.
'Dia terlalu takut agaknya. Moga Allah memeliharamu wahai hamba Allah' Bisik hatiku tanpa ada terselit rasa dendam atau marah sedikitpun. Orang itu hanya menjadi wasilah bagi Allah untuk memberi musibah ini kepadaku. Pujuk hatiku.
Tanpa menghiraukan kesakitan yang melanda, aku lantas bangun berdiri kerana bimbang seandainya ada kenderaan yang datang dari bahagian belakang merempuhku. Aku berdiri terketar-ketar di tepi jalan. Akibat daripada insiden yang berlaku secara tiba-tiba itu, pandanganku berpinar seperti akan pitam. Kaki kiriku sudah tidak beralas. Stokin yang tersarung di kaki sudah koyak. Sandal pula entah tercampak ke mana.
Dalam keadaan terpinga-pinga itu, aku teringat akan motosikalku yang terbaring di tepi jalan. Bimbang kalau-kalau ada motosikal lain yang memecut laju, akan merempuh motosikal itu tanpa disengajakan dan boleh mengakibatkan kemalangan yang lain pula. Meski sakit, aku jalan terhincut-hincut ke arah motosikal untuk mengalihkannya ke tepi jalan. Aku cuba mengangkatnya dengan daya yang tersisa, namun tidak berjaya. Berat. Beberapa kenderaan melintasiku. Mereka sekadar menjengukkan kepala memperlihatkan keprihatinan tanpa berhasrat untuk berhenti membantu. Mungkin mereka sedang bergegas agaknya. Aku cuba berbaik sangka.
Alhamdulillah. Ternyata Allah itu Maha Mendengar keluhan dan rintihan hamba-Nya. Kedengaran jelas deruan enjin motosikal berkuasa besar berhenti berhampiranku. Sedang hati ini dibungai rasa syukur atas kedatangan seseorang untuk membantu, terselit rasa bimbang dan kurang selesa. Pastinya penunggang motor berkuasa besar yang lengkap berjaket dan bertopi kaledar ’full face’ yang selayaknya untuk motor sejenisnya itu adalah seorang lelaki yang...
Aku terkesima. Zip jaket dilepaskan. Turun dari motosikal itu seorang pemuda berbaju melayu hijau tua yang wajahnya tersembunyi di sebalik cermin berwarna gelap topi kaledarnya. Pemuda itu sedang melangkah cermat menuju ke arahku.
"Assalamu'alaikum. Cik tak apa-apa?" Sapa pemuda itu.
********************
[1]Asrama atau kolej
[2]Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah. Maha suci Allah yang telah menundukkan untuk kami kenderaan ini,padahal sebelumnya kami tidak mampu menguasainya. Sesungguhnya kami pasti akan dikembalikan kepada Rabb kami. Diriwayatkan oleh Abu Dawud 3/34 oleh At-Tirmidzi 4/501, lihat juga Shahih at-Tirmidzi 3/156