Wednesday, October 3, 2007

(5) PILU YANG MENGUSIK JIWA

*************************

“Kau perempuan jahat. Perempuan kotor. Berambus kau dari sini!. Aku tak ada mak yang macam kau. Mati hidup semula pun aku tak akan mengaku yang kau adalah mak aku.! Pergi!”
Perempuan muda itu menolak kasar wanita tua di hadapannya sehingga wanita tua itu jatuh rebah di tepi pagar rumah dua tingkat itu. Wanita tua itu membalas hinaan perempuan muda itu. Hanya air mata yang bisa terluahkan menjawab hinaan dan cacian itu. Pagar rumah ditutup dengan kasar. Dan beberapa saat kemudian, kedengaran pintu rumah dihempas kuat menzahirkan kemarahan dan kebencian si tuan rumah.

“Dum!” Wanita tua yang masih terduduk di atas jalanraya itu sedikit terjungkit bahunya, terkejut dengan bunyi dentuman itu.

‘Kau tidak salah, anakku. Memang benar katamu. Aku orang jahat.’ Wanita tua itu berkata sendirian.
Tanpa berlengah lagi, dia bangkit bangun sambil menepuk perlahan pasir yang terlekat pada pakaiannya yang agak lusuh itu. Wanita itu mula melangkah meninggalkan rumah dua tingkat yang tersergam indah di hadapannya tadi dengan berat hati. Air mata berjuraian mengiringi langkahnya yang lemah. Tanpa disedari dan diketahui wanita tua itu, hakikatnya ada seorang lagi insan yang sedang berdiri di sebalik tingkap memerhatikannya dan turut menangis sepertinya.

“Maafkan saya, mak. Cukup susah untuk saya terima atas apa yang telah mak perbuat dulu.” Perempuan muda itu terus menangis. Bahunya terhinjut-hinjut menahan tangis. Rasa kasih membuak-buak dari dalam dirinya namun dibatasi oleh hijab keegoan untuk memaafkan.

Makcik Aisyah melemparkan pandangannya ke luar tingkap. Di wajahnya terlukis jelas kekecewaan dan kesedihan. Masakan tidak, darah daging yang dilahirkan dari rahimnya sendiri dengan jerih payah telah mendendami dan membencinya dengan sepenuh hati bertahun lamanya.

“Makcik tahu, makcik jahat. Ye..makcik memang merokok, minum arak, tidur dengan lelaki, tapi itu dulu. Makcik dah tak buat benda-benda terkutuk lagi. Makcik dah taubat.” Adunya.

“Bersabarlah makcik dan teruskan berdoa. Insya-Allah, moga Allah membuka pintu hati anak makcik itu suatu hari nanti. Terimalah segalanya sebagai satu kifarah[1] dan ujian yang bersama-samanya Allah sertakan rahmat dan keampunan-Nya.” Pujuk Nur.

“Rahmat Allah buatmu, anakku.” Hatiku cukup sayu tatkala Makcik Aisyah mengeluarkan butir ‘anakku’. Terasa betapa dirinya benar-benar dihargai dan dikasihi. Masakan tidak, kasih seorang ibu telah lama hilang dari hidupnya sejak dia mencapai usia 10 tahun. Hanya senyum kehibaan terpamer pada wajahku.
‘Rahmat Allah buatmu juga makcik.’ Kataku hanya di dalam hati tika melangkah pergi meninggalkan Makcik Aisyah sendirian terlantar di katilnya akibat sakit HIV positif. Akibat dari kejahilan dan kesombongan lalu.

Seperti minggu-minggu yang terdahulu, tarbiyah baru akan diperolehi setiap kali kunjungannya ke hospital untuk menziarah penghuni-penghuni di situ. Dia tidak mengenali mereka, tetapi telah berkenalan dengan mereka. Tidak sia-sia dia mengambil keputusan untuk ke hospital pada setiap hujung minggu bagi melawat para pesakit di sana. Bertambah orang yang dikenali dan bertambah kuat hatinya dalam menempuh ujian yang Allah timpakan pada dirinya. Sehebat apapun yang sedang dihadapi, ternyata masih ada orang yang menghadapi ujian yang lebih darinya. Itu yang menguatkan semangatnya.
Satu kesimpulan yang dapat dibuat dari kunjungannya kali ini, bahawa hidayah dan taufiq Allah itu tidak mengenal usia dan darjat. Ianya bisa diberi dan diambil semula oleh Allah sewenang-wenangnya. Maka, hargai ia semasa ada.

Di sepanjang perjalanan pulang, tidak henti zikrullah membasahi lidah dan menghidupkan hati Nur. Sebelum terus pulang ke mahallah, dia sempat singgah sebentar di bazar yang tidak jauh dari hospital untuk membeli apa yang patut sebagai juadah berbuka maghrib nanti.

Sesampainya di kampus, Nur menuju ke Mahallah Safiyyah bilik bernombor F1.4. Tidak sabar rasanya ingin melihat wajah sahabat-sahabat. Kelihatan banyak sandal dan selipar tersusun kemas di tepi rak kasut di hadapan pintu.

‘Pasti mereka semua ada di sini.’ Getus hatinya gembira.

“Assalamualaikum.” Daun pintu dikuak.

“Waalaikumussalam.” Salam disahut beramai-ramai serentak. Kak Iman, Zwani, Umi, Angah dan Acu ada di situ.

“Ehh, Nur dari mana ni? Sehari tak nampak.” Tanya Umi.

“Jalan-jalan cari makan.” Jawab Nur santai sambil meninggikan jinjingan plastik makanan di tangan kanan dan kirinya.
Mereka semua menggelengkan kepala tanda sudah faham akan perangai Nur. Sangat pemurah dan sanggup berkorban untuk sahabatnya. Sekiranya membeli sesuatu, tidak pernah dalam jumlah yang sedikit. Bukannya boros, tetapi Nur tidak akan perah lupa untuk berbagi rezekinya dengan sahabat-sahabat lain.

Jam sudah menunjukkan jam 7 malam. Mereka semua bersiap-siap untuk berbuka dengan juadah yang pelbagai. Sepuluh minit sebelum berbuka, setiap seorang dari mereka diberi peluang untuk berucap, Zwani, Angah, Umi, Acu, Nur dan Kak Iman. Nur orang yang terakhir diberi kesempatan untuk berucap sekaligus diamanahkan untuk membacakan doa.

“Salam mahabbah, salam ukhuwwah fillah. Tak terasa sudah hampir satu semester kita bersama. Moga ukhuwwah yang terbina atas ikatan hati yang satu kerana Allah ini akan kekal selamanya sampai ke akhir hayat. Walau jauh di mata, walau mungkin tidak dapat bersua lagi, ingatlah… jangan pernah melenyapkan kenangan indah yang tercipta dari dalam hati kita semua. Mohon maaf atas segala kesilapan dan kesalahan, samada sengaja ataupun tidak, awal akhir, zahir batin, dunia dan akhirat..” Kata-kata Nur tersekat secara tiba-tiba. Diamatinya satu persatu wajah sahabat-sahabatnya.

“Nur sayang kalian semua kerana Allah.” Ada air mata mengalir dari kelopak mata Nur yang indah. Sahabat semua turut terharu pada ucapannya.

“Kami pun sayang Nur” Sahut mereka serentak.
Berbaki tiga minit lagi masuk waktu berbuka puasa, Nur mula membaca doa. Doa dibaca dengan penuh tertib dan tenang. Semua hati yang ada pada petang itu terpaut untuk sama-sama menghayati bait doa yang dipanjatkan. Sehinggakan ada yang tidak tertahan air mata kerana mengenangkan betapa indahnya berada bersama sahabat yang dikasihi serta bersyukur ke hadrat Illahi kerana masih di dalam nikmat Islam dan Iman hingga ke hari itu. Antaranya Umi, Kak Iman dan Nur sendiri.

“Allah Akbar… Allah Akbar…”

Laungan azan dari masjid menandakan sudah masuknya waktu berbuka. Keadaan yang agak kelam dan suram tadi bertukar ceria sebaik sahaja masing-masing mula menjamah makanan. Meskipun memilih menu yang berbeza, disatukan semua menu itu di dalam satu besar. Mereka sudah biasa makan begitu bersama-sama, mencontohi sunnah Rasulullah S.A.W. Mereka yakin sesuatu makanan itu akan lebih berkat andai disentuh oleh banyak tangan.
Tanpa disedari sesiapa, air mata Nur sekali lagi tumpah tanpa dipinta. Hatinya tersangat gembira dapat bersama-sama sahabat semua. Dia sedar, pastinya dia akan amat merindui sahabat semua, begitu juga mereka pastinya akan amat merinduinya kelak.

*********************
[1] Denda

No comments: