Monday, May 26, 2008

[2] LAGENDA APPRILIA

"Assalamualaikum. Cik tak apa-apa?" Sapa pemuda itu.

Aku diam membisu tanpa sebarang kata akibat menahan rasa sakit. Namun hakikatnya, rasa malu kerana berhadapan dengan pemuda itu dalam keadaan yang tidak sepatutnya di tepi jalan lebih menguasai diri. Tanpa menunggu jawapan dariku yang pastinya tidak berjawab, pemuda itu dengan pantas namun berhati-hati membantu mengalihkan motosikalku ke tepi jalan.

Aku kembali berjalan terhincut-hincut bersandar di palang besi di tepi jalan. Terasa pilu benar kaki kiriku. Sudahlah luka, tidak berkasut pula. Stokin yang pada asalnya masih tersarung elok di kaki meski sudah koyak, kini sudah hampir menampakkan keseleruhan bahagian tapak kaki kiriku. Darah sudah menyelaputi ke seluruh bahagian kaki kiriku. Seperti memahami jeritan hatiku, pemuda itu mengalihkan pandangannya membelakangiku lantas berjalan ke arah jalanraya seperti mencari-cari sesuatu. Kesempatan itu aku gunakan untuk membetulkan stokinku menutupi kakiku. Meski sakit, kutahan jua asalkan auratku terpelihara.

Kemudian, pemuda itu kembali ke arahku dengan membawa sandal kiriku. Pemuda itu lalu meletakkan sandalku di bawah, dekat dengan kaki. Setelah itu, entah kenapa secara tiba-tiba pemuda itu tergesa-gesa menyeluk poket bajunya. Aku pelik dengan tindakannya itu.

"Maaf hanya ini yang saya ada" Kata pemuda itu seraya menghulurkan kepadaku segulung kain putih.

Aku mengerutkan dahi. Mujurlah wajah bingungku tersembunyi di sebalik cermin muka topi keledarku yang berwarna gelap, mirip cermin muka topi kaledar pemuda itu. Kain putih yang dihulur pemuda itu masih di tangan. Seperti memahami kebingunganku, pemuda tersebut membuat isyarat agar aku mengelap daguku. MasyaAllah. Tidak aku sedari yang daguku berdarah. Darah mengalir dengan banyak. Kesucian warna putih tudung dan sweater kelabu yang kupakai dicemari merahnya darah.

Aku tiada pilihan. Meski tidak sampai hati, aku tetap menggunakan kain putih yang kurasa kain serban yang diberi pemuda itu untuk menekap daguku bagi menahan darah daripada terus mengalir. Terasa ada kesan koyak yang agak panjang di daguku.

Tiba-tiba aku teringat, ada sehelai tuala kecil di dalam beg hitamku di dalam bakul motosikal. Sedang aku menggeledah beg, pemuda tadi beredar ke tepi jalanraya. Satu demi satu kenderaan yang berlalu diperhatikan.

Beberapa saat setelah itu, pemuda itu menahan sebuah kereta Waja kelabu yang dipandu seorang wanita bertudung yang berusia dalam lingkungan 30-an. Kereta itu berhenti dan pemuda itu berbicara sesuatu kepada wanita tersebut. Tekapan di daguku sudah kutukar daripada kain serban yang diberi pemuda itu kepada tuala kecil milikku.

"Cik, perkenalkan ini Kak Insyirah. Insya-Allah Kak Insyirah akan membantu cik. Maaf. Saya tidak dapat berbuat lebih daripada ini. Lagipun, saya sedang ada hal penting sekarang." Kata pemuda itu.

"Semoga Allah segera memberi kesembuhan kepada cik. Saya pergi dulu. Assalamu’alaikum." Pemuda itu mula beredar meninggalkan aku dan Kak Insyirah sebelum sempat aku mengucapkan terima kasih padanya.

Aku tunduk memandang sesuatu yang terletak di atas tempat duduk motosikalku.

“Allah…" Kain serban yang dipinjamkan pemuda itu lupa untuk aku kembalikan.

“Broom...” Belum sempat aku memanggil, motosikal berkuasa besar yang dipandu pemuda itu sudah meluncur laju dengan bunyi yang gah itu di atas jalanraya menuju ke Subang Jaya. Deruan motosikal berkuasa tinggi itu kian menghilang dari deria pendengaran.

"Uhh…" Aku mengeluh hampa.

Bagaimana caranya aku dapat memulangkan kain serban pemuda itu. Gerangannya tidak aku ketahui manakala wajahnya pula tidak dapat aku pastikan. Kami sama-sama tidak dapat mengenali antara satu sama lain kerana wajah yang terselindung di balik cermin gelap topi keledar yang tersarung kemas di kepala. Satu hal yang dapat aku pastikan mengenai pemuda itu hanyalah motosikal yang ditungganginya, Aprilia RSV1000R berwarna flou red[1] dengan nombor pendaftaran BJB 2252.

Ya Allah, rahmatilah hamba-Mu yang berhati mulia itu dan peliharah dia di mana jua dia berada.

"Adik kenal ke pemuda itu?" Pertanyaan Kak Insyirah itu telah mematikan lamunanku. Ternyata Kak Insyirah telah memerhatikan tindak-tandukku sejak tadi. Aku malu sendiri.

"Tak" Jawabku ringkas dengan nada suara penuh ralat dan kesal.

"Pemuda itu tadi beria-ia sungguh meminta agar akak membantu adik. Katanya, dia bukan tidak mahu menolong, cuma dirasakan ada orang yang lebih sesuai membantu adik. Maksudnya, saudara perempuan se-Islam yang tidak berhalangan untuk berbuat lebih daripada apa yang cuba dia usahakan.”

Subhanallah. Penjelasan Kak Insyirah menambahkan kekagumanku pada pemuda itu. Kekaguman yang telah berputik beberapa ketika sebelum ini, sebaik melihat akan kebaikan akhlaknya. Aku amat menyenanginya kerana dia sangat menghormati maruahku sebagai seorang muslimah dengan berupaya menjaga pandangannya.

"Adik nak pergi klinik? Akak boleh hantarkan." Pelawa Kak Insyirah.

"Takpelah kak. Saya tak apa-apa." Aku menolak lembut pelawaan Kak Insyirah.

"Lagipun, rumah saya hanya terletak di kawasan sini. Insya-Allah saya masih mampu menunggang."

"Adik yakin? Akak bukannya apa, bimbang kalau-kalau perkara lebih buruk menimpa adik selepas ini. Ingat, akak memegang amanah pemuda tadi. Akak benar-benar kagum akan kesungguhannya menyuruh akak membantu adik sedaya yang boleh. Sangat mulia hatinya"

"Ya, sungguh mulia hatinya dan mulia lagi hati akak. Akak sanggup membantu saya meski saya ini tidak akak ketahui asal usul dan latar belakang. Terima kasih banyak-banyak, kak. Insya-Allah, kak jangan risau pasal saya Kalau saya tak larat nak menunggang pun, saya tuntun saja motosikal ni sampai ke rumah." Kak Insyirah tergelak kecil mendengar kataku. Tak padan sakit, sempat lagi nak bergurau.

"Hati-hati ye dik. Janganlah risau pasal kain serban tu. InsyaAllah kalau ada jodoh, adik akan menemuinya kembali untuk memulangkan kain serban itu. Kalau tak jumpa juga, adik simpan sajalah buat kenangan." Kini giliran Kak Insyirah pula mengusikku.

Dalam diam, aku mengaminkan kata-kata Kak Insyirah itu. Siapa tahu waktu itu adalah waktu mustajab yang digelar sa’atun na’lin, saat di mana setiap doa yang diminta kepada Allah akan dimakbulkan. Sa’atun na’ilin itu tiada siapa yang tahu. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berkata baik, kerana setiap kata-kata kita akan menjadi doa yang tidak disangka.

"Akak minta diri dulu. Jaga diri baik-baik ya. Assalamu’alaikum."

"Wa'alaikumussalam." Aku dan Kak Insyirah saling berjabat tangan.

********************
[1]Motor Apprilia RSV1000R menggunakan engin magnesium V60. Terdapat tiga warna iaitu hitam, mirror silver dan flou red. Harganya mencecah RM89,938.63 termasuk insurans.